SHAH ALAM - Glomac Berhad memaklumkan kolam takungan yang pecah di Taman Seri Alam, Saujana Utama di Kuala Selangor bukan dalam kawasan projek pembangunan Bandar Saujana Utama.
Pembangunan hartanah itu berkata, pegawainya telah mengenal pasti bahawa air daripada kolam tersebut melimpah ke kawasan kecil dalam hartanah Glomac.
"Sebahagian besar kawasan Bandar Saujana Utama kekal tidak terjejas.
"Kami ingin menjelaskan bahawa kolam takungan ini terletak di kawasan kejiranan iaitu Taman Seri Alam dan bukan dalam projek pembangunan kami, Bandar Saujana Utama.
"Walau bagaimanapun, kami tetap berwaspada dalam memantau keselamatan dan kesejahteraan pembangunan di perbandaran kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, benteng takungan air dilaporkan pecah menyebabkan Taman Seri Alam di Saujana Utama, Kuala Selangor dilanda banjir pada 29 Disember lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.15 petang.
Mengulas lanjut, Glomac turut menzahirkan rasa simpati terhadap hampir 200 rumah yang terjejas dalam kejadian berkenan.
Selain itu, menurut Glomac, pihak pemaju yang bertanggungjawab sedang melaksanakan langkah-langkah pemulihan bagi menangani isu benteng pecah berkenaan.