SHAH ALAM -"Ketahuilah, kamu tidak bersendirian,” demikian luahan Nooryana Najwa, anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di media sosialnya.
Luahan itu dipercayai berhubung pendengaran rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum bapanya Isnin ini.
Nooryana berkata, perjalanan individu untuk menuju kebebasan dan keadilan merupakan proses yang panjang.
"Jalan menuju kebebasan dan keadilan itu panjang dan sunyi.
"Namun, ketahuilah bahawa kamu tidak bersendirian,” katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari bagi pendengaran rayuan Najib terhadap Titah Adendum.
Menurut Jabatan Peguam Negara, penetapan tarikh itu bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan.
Titah Adendum yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.