GENTING GAZA - Komuniti antarabangsa kini menanti perkembangan rundingan gencatan senjata Gaza yang berlangsung sejak beberapa minggu lalu.
Negara perantara memaklumkan sesi dialog tersebut bagaimanapun menemui jalan buntu setelah Hamas dan Israel gagal mencapai kesepakatan tentang syarat utama proses damai itu.Beberapa laporan media memetik sumber Mesir mendakwa rundingan itu tidak akan meraih sebarang kata putus setelah wakil Tel Aviv sekali lagi berdolak-dalik.
Antara kandungan utama perjanjian damai itu adalah untuk membebaskan baki tawanan di Gaza sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin selain syarat meningkatkan akses bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan yang kini berdepan malapetaka dahsyat.
Tetapi, perbincangan itu gagal diteruskan kerana percanggahan pendapat tentang terma penting perjanjian damai tersebut.
Israel dikatakan terlalu 'banyak songeh' kerana menuntut jaminan hanya tawanan yang masih hidup akan dibebaskan selain menolak tuntutan pembebasan beberapa tahanan Palestin yang disenaraikan Hamas.
Delegasi Hamas juga mencadangkan tempoh bertenang sebagai langkah untuk menamatkan peperangan yang berlarutan selama hampir 15 bulan, namun ditolak mentah-mentah oleh Israel.
Beberapa laporan media di Tel Aviv mendedahkan pemerintah haluan kanan berkeras mahu perang genosid ke atas penduduk Gaza diteruskan.
Susulan rundingan tergendala, Hamas memberi amaran gencatan senjata itu masih samar-samar dan tiada jaminan ia bakal dilaksanakan sebelum penggal pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berakhir pada 20 Januari ini.
Gerakan Hamas mencadangkan tempoh bertenang selama seminggu, namun Israel sekali lagi memberi pelbagai alasan kerana kegilaan berperang dan membunuh banyak nyawa tidak berdosa.
Pada Rabu, rejim Zionis mengugut mahu memperhebatkan lagi kempen pengeboman ke atas Gaza jika Hamas terus melancarkan roket ke arah utara Tel Aviv.
Serangan balas oleh Hamas itu dikatakan telah memberi tamparan hebat kepada Israel kerana objektif misi mereka sejak Oktober 2023 yang kononnya mahu menghapuskan pejuang bumi Gaza tersebut ternyata gagal.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menegaskan tiada lagi tempat selamat di enklaf berkenaan yang terus dihujani bom."Ketibaan Tahun Baharu 2025 tidak membawa sebarang makna buat penduduk Palestin setelah zon selamat ciptaan Israel di al-Mawasi yang menjadi tempat berlindung golongan yang hilang tempat tinggal di selatan Gaza juga dibedil tanpa perikemanusiaan.
"Penangguhan gencatan senjata dari hari ke hari hanya akan membawa lebih banyak tragedi berdarah buat penduduk Gaza,” katanya.