PENGAMPUNAN Diraja yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong merupakan satu institusi penting dalam sistem perundangan di Malaysia.
Ia bukan sekadar sebuah proses undang-undang, namun melambangkan kemanusiaan, keadilan, dan peluang kedua bagi individu yang telah terjerumus dalam kesalahan.
Dalam erti kata lain, pengampunan itu membuka ruang kepada mereka untuk bangkit semula dan menyumbang kepada masyarakat.
Jadi, mana-mana pihak yang ingin mencadangkan supaya banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh kumpulan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini berikutan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan meminta pihak berkaitan supaya memahami dan menerima titah Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi banduan.
Pengampunan Diraja itu memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meringankan, mengurangkan atau menghapuskan hukuman terhadap individu yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah, khususnya hukuman mati.
Susulan itu, permohonan berkenaan hanya dipertimbangkan setelah melalui kajian terperinci yang melibatkan pandangan pihak berkuasa berkaitan, termasuk rekod kesalahan, tahap penyesalan dan perubahan tingkah laku individu terbabit.
Bagaimanapun, manusia memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun peluang untuk memperbaiki diri adalah hak asasi yang wajar diberi kepada semua.
Pengampunan Diraja tersebut membolehkan individu yang telah menjalani sebahagian daripada hukuman untuk diberi peluang kedua yang bukan sahaja berfungsi untuk individu itu sendiri, namun kepada masyarakat dan keluarga mereka.
Hal ini membuktikan bahawa peluang kedua mampu mencetuskan perubahan positif, bukan sahaja dalam kehidupan individu tersebut, tetapi juga dalam masyarakat secara keseluruhan.
Meskipun setiap manusia berhak untuk diberikan peluang kedua, namun pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong adalah bukti bahawa keadilan tidak semata-mata menghukum, tetapi juga memberi ruang untuk memaafkan dan membangun semula kehidupan.