IPOH - UMNO Perak akur dan tidak akan meneruskan hasrat menyertai Himpunan Solidariti bagi menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin depan.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu selari dengan pendirian parti agar semua tindakan berkaitan bekas Perdana Menteri itu diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah.
Menurutnya, ketetapan itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda memberi pengampunan, menangguhkan hukuman, dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam hubungan ini, sebagai parti yang tetap teguh mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang.
"UMNO Perak akur dengan ketetapan pihak berkuasa untuk tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang pada 6 Januari ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Dalam masa sama, beliau berkata, UMNO Perak menaruh harapan tinggi agar pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat keadilan yang sebaik-baiknya.
"UMNO Perak menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes tersebut," katanya.
Himpunan di Istana Kehakiman Putrajaya itu dilaporkan sebagai bentuk sokongan ahli Umno terhadap Najib yang juga merupakan bekas presiden parti itu.
Kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada Jumaat memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan itu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, iaitu baginda mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam isu berkenaan.