KLUANG - Seorang warga emas maut manakala sembilan lagi cedera apabila kereta dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 76, Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berkenaan dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 petang ketika lelaki warta tempatan berusia 75 tahun itu memandu kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari Machap menghala ke Simpang Renggam.
"Ketika tiba di lokasi, lelaki tersebut hilang kawalan lalu memasuki ke laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV jenis Hyundai Staria.
"Akibatnya, lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan meninggal dunia di lokasi.
"Dalam pada itu, pemandu MPV iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun serta lapan penumpang melibatkan tiga wanita warga Singapura, tiga wanita dan dua lelaki warga tempatan berusia 58 hingga 91 tahun mengalami kecederaan ringan di badan,” katanya.
Kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Simpang Renggam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan 1 Khas Untuk Penyandang (KUP), Abdul Rahim Razali berkata, satu pasukan bomba telah dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 petang.
Katanya, sebaik tiba ke lokasi didapati seorang lelaki warga emas tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
"Bomba menggunakan peralatan khas Road Traiffic Accident (RTA) bagi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Lapan penumpang lain yang menaiki MPV berkenaan termasuk enam wanita dilaporkan selamat tanpa kecederaan serius.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.14 petang,” katanya.