AMPANG - [DIKEMAS KINI] Ada yang berpura pengsan, mendakwa diri sebagai penuntut kolej serta membuat provokasi kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Itu antara ragam warga asing ketika ditahan JIM Selangor menerusi Op Kutip di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Jumaat.
Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati terdapat cubaan warga asing yang berpura hendak membeli barang selepas melihat tangkapan yang dibuat imigresen.
Malah, terdapat juga lelaki warga asing yang melarikan diri.
Semasa proses tangkapan dilakukan, terdapat seorang lelaki warga asing yang selamba membuat panggilan video dengan memaparkan perjalanan operasi terbabit.
Pegawai yang menyedari perbuatan lelaki itu kemudian bertindak menahannya dan pemeriksaan mendapati warga Bangladesh terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi bermula jam 7.30 petang diketuai Ketua Bahagian Penguat kuasa Imigresen Selangor, Johari Supardi.
Tambahnya, seramai 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 14 hingga 65 tahun ditahan hasil pemeriksaan 141 orang.
"Semakan mendapati tangkapan melibatkan 14 warga Indonesia, Bangladesh (6), Myanmar (3), Nepal (3), Pakitsan (3), Nigeria (1), Australia (3), India (3), Afghanistan (11), Sweden (1), Tanzania (1), Morocco (1), Somalia (1) dan Filipina (2)," katanya pada Sabtu.
"Selain itu, satu tangkapan masing-masing membabitkan warga Morocco, Sierra Lion, Somalia, German, Sweden serta Norway," katanya pada Sabtu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Repatriasi Migran (PRM) bagi tempoh Mac hingga Disember tahun lalu, kata Khairrul Aminus, seramai 60,454 orang warga asing berdaftar serta kutipan kompaun berjumlah RM28.7 juta telah dibuat.
Ujarnya, daripada jumlah itu, 42,999 ialah lelaki, 13,802 wanita, kanak-kanak lelaki (1,935) serta kanak-kanak perempuan (1,718).
"Kita kesan ada warga asing memilih untuk mendaftar pada saat akhir hingga mereka gagal mendapatkan slot bagi program ini," ujarnya.
PRM dilaksanakan bermula 1 Mac 2024 sehingga 31 Disember 2024 bagi membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela.