Teruja untung 20 peratus, pengurus syarikat rugi RM156,424

Iklan
Teruja dengan janji pulangan hampir 20 peratus setiap bulan, seorang pengurus syarikat mengalami kerugian berjumlah RM156,424 apabila wang simpanannya 'lebur' dalam skim pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan. Gambar kecil: Yahaya

KUANTAN – Teruja dengan janji pulangan hampir 20 peratus setiap bulan, seorang pengurus syarikat mengalami kerugian berjumlah RM156,424 apabila wang simpanannya 'lebur' dalam skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penipuan itu bermula pada pertengahan September lalu apabila lelaki berusia 56 tahun itu mengikuti satu grup aplikasi WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa kemudian tertarik dengan iklan promosi skim tukaran mata wang asing yang ditawarkan oleh suspek.

"Suspek memaklumkan bahawa keuntungan lumayan dapat diperoleh jika melabur sebanyak RM10,000, dengan jaminan pulangan sehingga 20 peratus setiap bulan.

Iklan

"Terpedaya dengan janji tersebut, mangsa melakukan 18 transaksi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM156,424 ke empat akaun bank berbeza dalam tempoh kurang tiga bulan,” katanya pada Sabtu.

Yahaya menambah, harapan mangsa untuk mendapatkan keuntungan musnah apabila diminta membayar tambahan sebanyak RM7,000 sebagai 'caj pengeluaran'.

Iklan

"Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas kesemua wang termasuk simpanan peribadi dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lebur," jelasnya.

Mangsa seterusnya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pelaburan atas talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan untuk menyemak nombor akaun dan nombor telefon mencurigakan melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.