'Saya tetap turun 6 Januari beri sokongan kepada Najib' - Armand Azha

Iklan
Armand Azha

SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah tetap akan hadir menyatakan solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada 6 Januari ini sebagai konsep setia kawan.

Beliau berkata, sokongannya terhadap bekas Presiden UMNO itu masih sama seperti sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Saya mewakili UMNO Bahagian Subang menyambut baik dan sentiasa menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi dalam isu 6 Januari ini sebagai seorang yang menyokong Najib serta pernah bekerja di bawah beliau, tanggungjawab sebagai seorang sahabat sudah pastinya akan turun untuk memberikan sokongan dan juga dukungan kepada kes beliau.

"Saya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan keputusan parti untuk tidak berhimpun, tetapi sebagai seorang yang berpegang kepada konsep setia kawan Insya-ALLAH, 6 Januari ini waima apa jadipun, saya akan tetap turun ke mahkamah untuk memberikan sokongan dan dukungan kepada Najib," katanya menerusi video pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Setiausaha Agung AMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO tidak akan meneruskan perhimpunan solidariti buat Najib pada Isnin depan.

Beliau menjelaskan pihaknya menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada bekas presiden parti itu.

Iklan

Dalam pada itu Armand Azha turut mengajak orang ramai mendoakan agar isu adendum mendapat penjelasan yang jelas sekali gus memberikan kemenangan kepada Najib.

"Persoalan hari ini adalah sama ada wujud atau tidak adendum yang diperkatakan kerana ini menyebabkan martabat, maruah dan kedaulatan negara kita serta Raja-raja Melayu," katanya.