Pas teruskan himpunan solidariti Najib

Iklan
Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan

SHAH ALAM - Pas tiada hasrat untuk menyemak kembali saranan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana ia sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-pertuan Agong, mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses serta penjalanan Lembaga Pengampunan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seperti yang dibayangkan tema himpunan berupa kehadiran secara aman rakyat jelata rentas kaum dan fahaman ke suatu tempat awam iaitu mahkamah terbuka.

"Himpunan yang diadakan itu hanya sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan pada saat-saat penentuan di mahkamah.

Iklan

"Ia merupakan usaha beliau mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan terbaik bawah undang-undang atas kepercayaan bahawa kuasa prerogatif yang sama telah memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman dijalaninya, iaitu melalui dokumen dikenali sebagai 'Titah Addendum',"katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular memo Pas akan mengadakan himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan pada 6 Januari ini.

Iklan

Berdasarkan memo itu, himpunan akan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Tambah Takiyuddin, malangnya, timbul keraguan yang munasabah bahawa Titah Addendum kelihatan dikhianati dan disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa sehingga menafikan hak dan kelonggaran yang diberikan.

Jelasnya, perkara tersebut memaksa Najib memohon kepada mahkamah melalui semakan kehakiman bagi suatu perintah agar kerajaan mengesahkan kewujudan dan seterusnya mengambil tindakan lanjut.

"Justeru himpunan solidariti ini tidak lain melainkan bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-pertuan Agong daripada manipulasi dan ketidaktelusan.

"Selain menyokong semua usaha sah Najib untuk mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama,"ujarnya.

Bagaimanapun, Takiyuddin memberitahu, Pas mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Istana Negara berhubung kuasa prerogatif Yang di-pertuan Agong berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Parti juga akur dan turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-pertuan Agong," katanya.