Dr Akmal tetap hadir beri sokongan kepada Najib

Iklan
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan penghargaan kepada UMNO atas sokongan yang diberikan untuk perhimpunan Solidariti 4 Najib Razak yang akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini. Gambar kecil: Dr Muhammad Akmal

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tetap akan hadir menyatakan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, kehadirannya itu adalah bersifat individu bagi memberikan sokongan moral kepada bekas Presiden UMNO itu.

Iklan
Iklan

"Sebagai ahli UMNO, kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati keputusan parti untuk tidak berhimpun pada Isnin ini

"Namun, saya tetap akan hadir untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib seperti yang dilakukan di Mahkamah Jalan Duta sebelum ini.

Iklan

"Kita sama-sama berdoa supaya ALLAH permudahkan urusan dan memberikan keputusan terbaik untuk Datuk Seri Najib," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Iklan

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, parti berkenaan akur kepada segala saranan titah Seri Paduka supaya menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, UMNO merancang mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin ini bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, perlu dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara berkata, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar Mahkamah Rayuan pada Isnin ini.

Ia kemudian disusuli kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang meminta orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.