BOGOTA - Sekurang-kurangnya 13 maut, manakala 29 lagi cedera apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung pada Jumaat di Lebuhraya Pan-Amerika di barat daya Colombia, lapor Agensi Anadolu memetik pihak berkuasa.
Kejadian berlaku sekitar 7 pagi waktu tempatan di jalan pergunungan di Wilayah Nariño, berhampiran sempadan Ecuador, apabila bas terjunam ke dalam gaung sedalam 150 meter.
Menurut Jabatan Bomba, 11 mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan.
Seramai 29 mangsa yang cedera parah sedang menerima rawatan di lapan hospital berdekatan, termasuk pemandu bas.
Pihak berkuasa melaporkan bahawa bas itu membawa pelancong yang dalam perjalanan ke Sanctuary of Las Lajas, yang terletak 2,900 meter dari aras laut, kira-kira tujuh kilometer dari sempadan Ecuador.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, namun kegagalan mekanikal dan memandu secara melulu disyaki menjadi penyebab utama.
Presiden Colombia, Gustavo Petro, turut menyampaikan ucapan takziah atas tragedi itu dan memaklumkan bahawa pihak polis sedang mengetuai operasi kecemasan.
"Amat menyedihkan. Polis kini bertanggungjawab terhadap operasi kecemasan," tulisnya di X. - Bernama