KKM belum terima kes terkini HMPV

Iklan
Dr Dzulkefly (tiga dari kiri) meninjau lokasi runtuhan kolam takungan di Taman Seri Alam, Saujana Utama pada Sabtu.

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum menerima kes terbaharu positif virus 'human metapneumovirus' (HMPV) di negara ini meskipun berlaku lonjakan penularannya di China.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini KKM sentiasa memantau perkembangan penyakit itu dengan teliti.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pelaksanaan pencegahan juga sama dengan pendekatan bagi penyakit berjangkit lain.

"Mereka yang bergejala diminta untuk segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat.

Iklan

"Kami turut melaksanakan aktiviti pengesanan kes aktif dan pasif seperti biasa untuk memantau gejala penyakit pernafasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di tapak runtuhan Kolam Takungan Hillpark, Taman Seri Alam, Saujana Utama pada Sabtu.

Iklan

Beliau memberitahu, penyakit pernafasan itu bukanlah satu penyakit baharu di negara ini kerana ia tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Makmal Kesihatan Awam dan makmal hospital KKM juga turut menerima sampel berkaitan penyakit ini," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, KKM bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta negara lain seperti Thailand, China dan Singapura untuk bertukar maklumat mengenai perkembangan penyakit berkenaan.

Jelas beliau, Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan China (CDC) juga mengesahkan tiada perisytiharan kecemasan berkaitan jangkitan saluran pernafasan telah dibuat.

"SOP pemantauan di pintu masuk antarabangsa dan sempadan tetap dijalankan bagi memastikan keselamatan negara.

"Kami akan terus berwaspada dan mengambil langkah yang sesuai untuk menangani sebarang kemungkinan," tambah beliau.

Sebelum ini, media melaporkan China kini berdepan ancaman virus hMPV yang semakin menular selepas lebih lima tahun kes pertama Covid-19 direkodkan sebelum ini.

Susulan lonjakan kes sejak bulan lalu, pihak berkuasa kesihatan seluruh dunia bertindak memberi amaran mengenai bahaya wabak itu dan langkah penjagaan kebersihan.

Sebahagian besar kes jangkitan melibatkan golongan berusia bawah 14 tahun dan bergejala seperti batuk, demam, hidung tersumbat dan nafas berbunyi seperti wisel.