SERDANG - Akibat cemburu kenalan wanita mempunyai hubungan baik dengan lelaki lain mendorong seorang buruh warganegara asing bertindak kejam membunuh wanita warga Indonesia baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 berhubung penemuan mayat pada Selasa.
Beliau berkata, panggilan kecemasan jam 10.15 malam itu menyatakan seorang wanita warga asing diketemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Kata beliau, mangsa dipercayai dibunuh di sebuah hotel di Puchong, dekat sini.
"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa merupakan warganegara Indonesia berusia 39 tahun.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah membuat tangkapan ke atas suspek utama pada Jumaat, jam 4.30 petang.
"Suspek merupakan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 23 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan di Presint 20, Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan kenalan kepada mangsa.
Tambahnya, suspek juga mengaku telah membunuh mangsa kerana perasaan cemburu.
Anbalagan berkata, permohonan reman sehingga Jumaat diperoleh di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Beliau berkata, kes masih diteruskan dengan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.