UMNO Terengganu batal arahan sertai himpunan solidariti Najib

Iklan
Rozi

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu membatalkan arahan kepada UMNO bahagian di seluruh negeri untuk hadir menyertai himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin depan.

Iklan
Iklan

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, keputusan itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda memberi pengampunan, menangguhkan hukuman dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan kuasa kuasa prerogatif baginda mengikut Perkara 42 (1) dan (2) adalah dijunjung tinggi.

Iklan

"UMNO Terengganu juga menghormati saranan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara berkaitan cadangan himpunan solidariti tersebut berhubung aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

"Jadi keputusan UMNO membatalkan cadangan perhimpunan tersebut difahami berdasarkan justifikasi yang jelas dan bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Iklan

"Maka dengan ini UMNO Terengganu juga membatalkan arahan untuk hadir ke perhimpunan tersebut kepada UMNO bahagian-bahagian seluruh negeri," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Rozi berkata, pihaknya turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada ahli-ahli seluruh negeri yang telah menunjukkan semangat dan pengorbanan yang tinggi untuk bersolidariti bersama-sama Najib.

"Insya-ALLAH... komitmen ini akan dapat direalisasikan dalam acara seumpamanya pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Rozi menyatakan berhubung Titah Adendum yang didakwa wujud dalam kes Najib tersebut, UMNO Terengganu kekal berpendirian bahawa segenap saluran undang-undang yang ada perlu diaplikasi bagi membolehkan perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan dapat dilaksanakan sewajarnya.

Sebelum ini media melaporkan, penganjuran himpunan solidariti yang akan diadakan di Istana Kehakiman Putrajaya oleh ahli UMNO sebagai tanda sokongan dan setia kawan terhadap Najib kerana jasa besar beliau selama ini.

Susulan itu, Istana Negara menerusi kenyataan mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.

Menurutnya, kuasa Seri Paduka Baginda untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Pada Jumaat, UMNO tidak akan meneruskan perhimpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, pihaknya menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada bekas Presiden parti itu.

UMNO Kelantan akur arahan tidak berhimpun

KOTA BHARU - UMNO Kelantan akur dengan arahan Ibu Pejabat UMNO supaya tidak meneruskan himpunan Solidariti Untuk Najib Isnin ini berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausahanya, Datuk Akbar Salim berkata, bagaimanapun UMNO Kelantan tetap menyokong usaha memberi keadilan sepenuhnya kepada bekas Perdana Menteri itu melalui saluran yang ditetapkan Perlembagaan negara.

Beliau memberitahu, parti itu sentiasa percaya kepada sistem perundangan yang masih utuh dan telus.

"Ahli UMNO disarankan membatalkan hasrat tersebut dan meneruskan solidariti kepada Najib melalui kaedah yang lebih baik dan sesuai dengan pematuhan kepada perlembagaan dan undang-undang negara," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Jelas beliau, UMNO Kelantan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli UMNO akar umbi di negeri ini yang menyatakan komitmen dan pengorbanan mereka pada mulanya bersetuju untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takuyiddin Hassan memaklumkan parti itu tetap meneruskan perhimpunan solidariti berkenaan.

Pada masa sama katanya, Pas akur dan turut mendokong proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong.

UMNO Negeri Sembilan akur, tak turun himpunan Najib

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan akur untuk tidak menyertai Himpunan Solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti mana ketetapan Ibu Pejabat UMNO Malaysia.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya akur titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan kuasa prerogatif baginda dan menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

"UMNO merupakan sebuah parti yang terus kekal mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sejak dari dahulu hingga ke saat ini.

"Ketika UMNO sebagai kerajaan tunggal atau pembangkang mahu pun berkongsi kuasa, UMNO tetap meneruskan keutamaan dan penghormatan tertinggi ini, seperti yang digariskan dalam perlembagaan parti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara berhubung titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong mengenai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya haruslah dipandang serius oleh rakyat khususnya ahli UMNO seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, UMNO Negeri Sembilan terus berharap Najib akan mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya.