KUALA SELANGOR - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) digesa mengambil beberapa langkah susulan bagi memusnahkan kawasan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes berikutan insiden kolam takungan pecah di Taman Seri Alam, Saujana Utama di sini pada Ahad.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan susulan termasuk kerja-kerja pembersihan perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan risiko wabak denggi di kawasan perumahan penduduk.
"Saya mahu pastikan tidak ada wabak di kawasan perumahan berikutan kejadian runtuhan kolam takungan yang boleh menjadi punca denggi," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di tapak runtuhan Kolam Takungan Hillpark, Taman Seri Alam, Saujana Utama pada Sabtu.
Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, risiko dijangkiti wabak denggi meningkat terutama di kawasan air bertakung.
Sehubungan itu, katanya, penduduk taman perumahan diminta memastikan tiada sebarang takungan air yang boleh menjadi punca pembiakan nyamuk.
Ditanya adakah KKM akan melaksanakan semburan nyamuk di kawasan perumahan terbabit, Dr Dzulkefly memaklumkan, setakat ini semburan hanya dilakukan sekiranya berlaku kes denggi.
"MPKS mempunyai pendekatan dan akan segera melaksanakan langkah-langkah sewajarnya jika berlaku kes denggi di kawasan ini," tambah beliau.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Taman Seri Alam dilanda banjir selepas benteng kolam takungan bersebelahan perumahan itu pecah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.15 petang.
Katanya, benteng pecah telah menyebabkan air telah melimpah ke keseluruhan taman dan paras air adalah sekitar satu kaki atau 0.3 meter.