SUNGAI BULOH - Operasi pemadaman kebakaran sampah di tapak sampah haram Jalan Bukit Lagong di sini masuk hari ketiga pada Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kejadian kebakaran dilaporkan berlaku sekitar jam 11 malam, Khamis di tanah berkeluasan 5,000 kaki persegi.
Menurutnya, operasi pemadaman dimulakan jam 1 pagi, Jumaat menggunakan satu aliran pam air jentera secara ulang-alik.
"Operasi tersebut berlangsung sehingga jam 7 pagi dan berjaya memadamkan kebakaran sekitar lima peratus.
"Operasi kemudian disambung jam 8.20 pagi, Jumaat hingga 8.30 pagi, Sabtu dan berjaya memadamkan 30 peratus kebakaran," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, operasi pemadaman diteruskan pada pagi ini oleh Pasukan C dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sungai Buloh.
"Seramai 12 anggota BBP terlibat dibantu agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG), APM (Angkatan Pertahanan Awam) serta dua unit ekskavator," katanya.
Katanya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.
Untuk rekod, difahamkan tanah itu berstatus hak milik yang pemiliknya sudah dikenal pasti dan berdepan tindakan Notis 7A di bawah pelanggaran syarat.
Kawasan sekitar itu juga dikatakan berpotensi untuk berlaku kebakaran susulan terdapat banyak longgokan sampah sisa binaan di jalan masuk.