'Setiap bulan gajah liar masuk kampung'

Iklan
Seekor gajah liar jantan yang digelar penduduk setempat sebagai 'Labu' berjaya ditangkap oleh Perhilitan Perak, Khamis lalu.

LENGGONG - Kehadiran gajah liar yang memusnahkan tanaman kelapa sawit, tebu dan pokok pisang membuatkan penduduk di Kampung Chepor di sini, lebih berhati-hati setiap kali ke kebun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Fudzali Chek Harun berkata, hampir setiap bulan pihaknya menerima aduan penduduk berkaitan kehadiran kumpulan mamalia itu terutama pada waktu malam.

Iklan
Iklan
Fudzali

"Kampung ini sudah sinonim dengan gajah yang sering menghampiri kawasan kebun dan penempatan penduduk untuk mencari makan.

"Kebun pisang, kelapa sawit, tebu dan pokok getah merupakan sumber ekonomi penduduk di sini. Apabila tanaman dimusnahkan, penduduk mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Iklan

"Boleh dikatakan setiap bulan paling tinggi kita terima empat aduan gajah dan perkara itu akan sampaikan terus kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Menurut Fudzali, kejadian terbaharu berlaku Khamis lalu apabila seorang penoreh getah terserempak dengan gajah tunggal yang berkeliaran di kebun getah miliknya.

Iklan

"Kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu disedari pekerja saya dan dengan tindakan pantas kakitangan Perhilitan, gajah jantan yang kami gelarkan 'Labu' itu berjaya ditangkap.

"Perhilitan juga banyak membantu penduduk dan pengusaha kebun dengan menyediakan borang bagi tuntutan pampasan kerosakan akibat ancaman haiwan liar," katanya.

Penduduk, Izwan Muhizzin Shaari berkata, kemunculan kumpulan gajah berhampiran rumahnya di Kampung Luat di sini, Rabu lalu menyebabkan dia dan keluarga tidak lena tidur.

Izwan Muhizzin

"Kehadiran gajah ini amat menggusarkan berikutan haiwan ini boleh dikatakan spesies tidak takut apa-apa. Apabila dia bertempik, kami sekeluarga akan duduk diam tidak berbuat apa-apa.

"Tetapi apabila gajah ini terlampau dekat dengan rumah, saya terpaksa baling mercun dan kumpulan ini akan beransur-ansur beredar. Sejak itu, setiap malam saya lebih berhati-hati dan kadang tidur-tidur ayam sahaja," katanya.

Tambahnya, kumpulan gajah dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Piah berhampiran telah memusnahkan tanaman pokok kelapa dan buluh lemang milik.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan gajah jantan yang dianggarkan berusia 18 tahun di Kampung Bukit Labu di sini, Khamis lalu.

"Tangkapan dibuat sekitar jam 2 petang hasil aduan penduduk. Gajah tersebut merupakan sebahagian daripada kumpulan dari ID Piah yang dilaporkan mula menghampiri kampung.

"Meskipun ada tangkapan, kawalan tetap dilaksanakan berikutan kumpulan gajah ini turut dikesan di kawasan berhampiran dan tidak mustahil ada tangkapan lagi," katanya.

Menurut beliau, operasi translokasi gajah berkenaan akan dilaksanakan pada Rabu depan dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.