JOHOR BAHRU - Suasana di bandaraya Johor Bahru khususnya di lokasi yang menjadi tumpuan awam susulan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad, dilihat masih seperti biasa dengan aliran trafik yang lancar di sekitar bandar raya.
Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu, mendapati beberapa lokasi seperti di pusat membeli belah Johor Bahru City Centre (JBCC) serta Zoo Johor, tidak terlalu sesak biarpun ramai warga bandar raya mengambil peluang cuti hujung minggu untuk bersiar-siar bersama keluarga ke lokasi berkenaan.
Bagi kakitangan swasta, Hilmi Samod, 39, kunjungan orang ramai di Zoo Johor didapati masih seperti biasa, namun didapati ia mula meningkat menjelang tengah hari.
"Bagi saya, keadaan di Zoo Johor taklah sesak macam yang kita sangkakan bila cuti hujung minggu diubah kepada Sabtu dan Ahad, jalan pun tak jem (sesak).
"Tapi, kalau dilihat, orang ramai semakin ramai datang ke sini dan saya rasa waktu petang nanti, mungkin lebih ramai yang akan datang.
"Lagi pun sebelum ni, anak-anak cuti Jumaat, Sabtu, ibu bapa yang cuti Sabtu Ahad mungkin susah nak rancang aktiviti, jadi sekarang dah mudah bagi mereka," katanya.
Pendapat itu dipersetujui oleh suri rumah, Khairunnisa Mohd Khalid, 39 yang menyifatkan orang ramai sebenarnya memanfaatkan cuti Sabtu dan Ahad untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga.
Katanya, sebelum ini mungkin cuti Jumaat dan Sabtu dilihat agak pendek untuk mereka berbuat demikian.
"Saya rasa ramai warga Johor mengambil peluang cuti Sabu dan Ahad ni untuk melungkan masa bersama keluarga kerana lebih banyak aktiviti boleh dilakukan bersama.
"Tapi hari ni (Sabtu), saya tengok keadaan masih terkawal lagi sebab mungkin dalam musim peperiksaan dan selepas peperiksaan lokasi-lokasi tumpuan seperti Zoo Johor ini akan kembali sesak," katanya.
Sementara itu, bagi Mohd Lokmanhakim Norazman, 34, cuti Sabtu dan Ahad memang memberikan banyak manfaat kerana lebih banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga.
Bagaimanapun katanya, orang ramai dihadap berhati-hati agar cuti hujung minggu mereka tidak menjadi hari untuk berduka pula.
"Bagi saya memang banyak manfaat cuti pada Sabtu dan Ahad ini, sebagai contoh orang ramai berpeluang bersiar-siar bersama keluarga contohnya, di Zoo Johor ini.
"Saya rasa kunjungan ke zoo ini masih belum di tahap maksimum, tetapi dilihat semakin ramai yang mula memasuki zoo bagi meluangkan masa bersama keluarga pada cuti Sabtu dan Ahad, ini," katanya.