Rakyat berhak tahu kedudukan sebenar Titah Adendum - Hamzah

Iklan
Hamzah Zainudin

SHAH ALAM - Suara rakyat yang ingin tahu akan kewujudan dan kedudukan Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak setelah menjadi isu kepentingan awam.

Iklan
Iklan

"Rakyat pada hari ini berhak mengetahui hakikat sebenar akan kewujudan satu Titah Adendum yang menjadi isu berkepentingan awam dan mempersoalkan mengapakah ia tidak dilaksanakan sekiranya telah dizahirkan Yang di-Pertuan Agong sejak setahun yang lalu.

"Hal ini amat penting kerana apa-apa perlakuan ingkar, menyembunyikan atau menafikan mana-mana titah yang dizahirkan institusi Yang di-Pertuan Agong, termasuklah Titah Adendum tersebut merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mahkamah Rayuan dijadual mendengar permohonan Najib untuk menyemak ketetapan dibuat mahkamah tinggi mengenai titah tambahan berkenaan pada Isnin ini.

Satu himpunan solidariti buat Najib juga dijadualkan berlangsung pada hari sama.

Iklan

Istana Negara dalam kenyataan pada Jumaat berkata, cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, menjadi salah satu kewajipan bagi semua rakyat Malaysia untuk menjunjung tinggi serta memartabatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja sebagai lambang kedaulatan negara seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

"Kerajaan atau mana-mana pihak tertentu mempunyai obligasi untuk menyempurnakan titah yang dibuat Agong dengan teratur mengikut lunas perundangan negara.

"Termasuk apa juga titah tambahan (Adendum) dalam hal pengampunan diraja yang dibuat oleh mana-mana Yang di-Pertuan Agong,” katanya.