SHAH ALAM - Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jamin akan membantu pesakit menangani cabaran kos penjagaan kesihatan dengan memberi sokongan kewangan kepada mereka.
PPUM dalam satu kenyataan memaklumkan, terdapat pelbagai program sokongan kewangan termasuk pelan pembayaran dan pilihan kepada perubatan, sosial serta kebajikan untuk pesakit yang kurang berkemampuan secara bersasar.
Menurutnya, pesakit yang sedang menikmati kemudahan subsidi sedia ada untuk perawatan perubatan tidak akan terkesan.
"Penjagaan pesakit kekal sebagai keutamaan kami. Pelarasan ini perlu untuk memastikan kelestarian jangka panjang pusat perubatan dan kemampuan untuk terus memberikan penjagaan kesihatan yang mampan dan berkualiti tertinggi.
"Komitmen kami sebagai pusat perubatan akademik adalah sentiasa memberi jaminan bahawa semua proses pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan tidak akan terjejas dengan pelarasan caj hospital ini.
"Jabatan Kewangan kami pula sedia membantu pesakit memahami perubahan ini dan membantu pesakit dengan maklumat bantuan kewangan yang tersedia. Pesakit boleh menghubungi kami di Unit Taksiran, Lobi Menara Selatan, PPUM atau melalui e-mel di hasilummc@ummc.edu.my," katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, PPUM mengumumkan caj baharu bagi perkhidmatannya bermula 1 Januari lalu, berikutan kenaikan kos bekalan dan peralatan perubatan.
Berdasarkan laman sesawang PPUM, caj tersebut termasuk kenaikan bayaran perubatan dan pembedahan sebagai kadar baharu bagi fasa dua yang berkuat kuasa pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, pelaksanaan rasionalisasi caj merupakan satu keputusan yang sukar untuk dilaksanakan.
Bagaimanapun jelas PPUM, setelah meneliti setiap aspek yang berkaitan, tindakan perlu dibuat berdasarkan kos operasi yang semakin meningkat.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami mendapati telah berlaku peningkatan yang ketara melibatkan kos operasi, teknologi perubatan terkini, bekalan guna hapus dan perubatan.
"Kenaikan harga bekalan secara global sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memberi kesan secara langsung kepada perbelanjaan operasi.
"Bagaimanapun, kami komited mengekalkan fasiliti yang selamat dan moden untuk pesakit, pelajar dan staf di mana ia memerlukan pelaburan berterusan dalam proses menaik taraf kemudahan, penyelenggaraan, pengurusan fasiliti, utiliti dan memastikan pematuhan dengan standard keselamatan tertinggi," katanya.