SEPANG - Seorang remaja perempuan, Nurul Fateha Nabila Mohd Zailani berusia 17 tahun dicari selepas dilapor hilang sejak 29 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, laporan kejadian itu dibuat ibu saudara remaja itu pada Selasa lalu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, mangsa menetap di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang di Selangor bersama ibu saudaranya sejak Februari tahun lalu.
"Sebelum menghilangkan diri, remaja itu telah berkurung dalam bilik rumah kerana perselisihan faham keluarga.
"Remaja itu dikesan hilang kira-kira jam 12 tengah hari, 29 Disember dengan memakai baju T dan seluar trek warna hitam serta membawa telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Norhizam berkata, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan usaha mengesannya giat dijalankan.
Jelasnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai remaja terbabit boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Muhamad Jefry Mustafa di talian 014-8013500.