BESERI - Sumbangan bakul rezeki dalam program Jelajah Sinar Untuk Rakyat di Masjid Jamek Beseri, di sini pada Sabtu diharap dapat membantu meringankan beban 200 penerimanya.
Penoreh getah, Kamaruddin Ismail, 59, berkata, program yang dianjurkan Sinar Harian dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat tersebut diharap dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan.
Menurutnya, keprihatinan pihak berkaitan dalam membantu dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan amat dihargai.
"Terima kasih atas sumbangan yang diberikan. Harap program seperti ini dapat diperbanyakkan lagi pada masa hadapan," katanya kepada Sinar Harian semasa ditemui pada Sabtu.
Dia berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mencemar duli turun merasmikan Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat di Masjid Jamek Beseri.
Seorang lagi penerima, Minah Che Mat, 87, turut berkongsi perasaan sama apabila turut terpilih menerima sumbangan tersebut.
"Saya tinggal seorang diri... anak-anak sudah berkahwin dan tinggal asing. Sumbangan seperti ini cukup besar untuk diri saya," katanya.
Bagi pekebun sayur, Lamai Boonchu, 52, pula, pendapatan yang diterimanya tidak tetap kerana menerima gaji harian.
Jelasnya, bantuan tersebut begitu bermakna buat dirinya dan keluarga bagi menampung kehidupan harian.
"Syukur, terima kasih atas sumbangan ini. Saya kerja dapat gaji harian dan bergantung kepada hasil tanaman. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat tampung kehidupan saya sekeluarga," katanya.