SARAWAK bakal menjadi tuan rumah untuk lima kejohanan taekwondo peringkat Asia yang berlangsung pada 25 hingga 31 Julai tahun ini.
Taekwondo Malaysia (TM) memaklumkan lima kejohanan Asia berkenaan ialah Kejohanan Taekwondo Kyorugi Remaja, Kejohanan Poomsae Remaja, Kejohanan Kyorugi Kadet, Kejohanan Poomsae Kadet dan Kejohanan Taekwondo Para.
Iklan
Iklan
"Kejohanan ini akan menjadi platform utama untuk Malaysia muncul sebagai peneraju dalam menganjurkan kejohanan taekwondo bertaraf dunia, pada masa sama meningkatkan kemahiran atlet kita dan mempersiapkan mereka kepada pertandingan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, TM turut mengalu-alukan semua organisasi sukan itu untuk menyertai badan induk yang sah bagi memastikan pengiktirafan rasmi serta mengelakkan sebarang cabaran undang-undang.
Malah, TM juga telah mengesahkan kedudukannya sebagai badan pentadbir tunggal sistem Taekwondo Dunia (WT) di Malaysia yang diberikan kepercayaan mewakili Malaysia dalam pertandingan WT di seluruh dunia.
"Susulan perkembangan itu, TM telah menjalankan satu sesi penilaian semula yang komprehensif dan sesi pengenalan untuk atlet dan pegawai dari Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dan Kukkiwon Malaysia hari ini.
"Proses ini menandakan satu langkah penting dalam komitmen kami terhadap inklusiviti dan kerjasama kerana kami secara rasmi menyambut mereka ke dalam TM. Kami mengajak semua organisasi Taekwondo untuk bergabung dalam menyatukan visi yang sama, layak ke Sukan OIimpik 2028 dan meraih pingat Olimpik menjelang 2032,” menurut kenyataan itu.