KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa terdapat konspirasi yang cuba menafikan kewujudan Titah Adendum dan menghalang permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani tahanan di rumah.
Muhammad Shafee turut mendakwa usaha tersebut bertujuan mengelakkan pengaruh bekas Ahli Parlimen Pekan itu daripada terus meningkat.
"Hingga hari ini saya hanya boleh membuat tekaan kenapa perintah kedua (Titah Adendum) ini tidak diumumkan dan saya pasti sebabnya adalah ada konspirasi supaya Najib terus ditekan dalam situasi konspirasi politik ini.
"Ia kerana sebaik sahaja beliau boleh jalani tahanan di rumah, akan ada pihak yang bimbang bahawa beliau akan menjadi berpengaruh semula," katanya di Townhall Rakyat Mencari Kebenaran bertajuk Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh moderator program mengenai mengapa perintah kedua melibatkan Titah Adendum sahaja tidak diumumkan sewaktu keputusan Lembaga Pengampunan dikeluarkan pada 2 Februari tahun lalu.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah
Ujar Muhammad Shafee, hanya perintah pertama sahaja dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan iaitu berkaitan pengumuman pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
"Ini menjadi satu tanda tanya yang agak dahsyat sebab ia tidak pernah berlaku dalam sejarah.
"Ini adalah satu perintah daripada Yang di-Pertuan Agong yang seharusnya kita hormati dan sanjung tinggi," ujarnya.