SHAH ALAM - UMNO sepatutnya meneruskan perhimpunan dan bersolidariti buat Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin ini, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau mendakwa, UMNO menjadikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai sandaran untuk melindungi sikap pengecut terhadap DAP apabila membatalkan himpunan solidariti buat Najib.
"Pembatalan yang diumumkan tidak sampai empat jam selepas Najib melahirkan rasa terharunya terhadap sokongan ahli-ahli UMNO agak menghairankan.
"Seperti biasa, saya melihat lakonan UMNO ini pasti ingin mengalih sikap sebenar mereka dengan bersandarkan kepada sesuatu perkara.
"Kali ini mereka memilih Titah Yang di-Pertuan Agong sebagai sandaran untuk melindungi sikap pengecut mereka terhadap DAP, kononnya mereka taat dan patuh kepada Titah Baginda yang menitahkan agar semua pihak menghormati Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan di mana kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah terletak di bawah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini dilaporkan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengingatkan UMNO bahawa sebarang program bersama dengan parti pembangkang, Pas termasuk perhimpunan solidariti atau demonstrasi akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Susulan itu, UMNO dilaporkan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin depan berikutan akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi Najib.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas sentiasa menjunjung tinggi kesetiaan dan kedaulatan raja serta perlembagaan negara, malah akur dengan segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut.
"Pas hanya memperjuangkan keadilan buat semua rakyat, tanpa mengira pangkat dan kedudukan mereka. Hal ini kerana, Pas mengamalkan keadilan yang ditentukan oleh Islam.
"Pas sejak awal telah memperjuangkan berkenaan Titah Adendum, tetapi kerajaan seolah-olah bermain ‘api’ dengan penafian yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
"Tetapi ahli keluarga Najib menafikan dengan menyatakan dalam afidavitnya bahawa Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 memang wujud. Maka keadilan ini yang Pas perjuangkan iaitu berikan hak kepada mereka yang berhak," ujarnya.
Tambah Tuan Ibrahim, agak malang apabila kenyataan UMNO untuk tidak meneruskan himpunan keluar selepas DAP menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap UMNO.
"Tindakan ini sudah terang lagi bersuluh, sekali lagi mengiyakan dakwaan rakyat sekarang bahawa UMNO hanya menjadi pengikut setia dan mengangguk kepada apa sahaja yang dikatakan DAP.
"Himpunan ini tanda bahawa UMNO mahukan keadilan dan layanan sama rata kepada pemimpin mereka, Najib seperti mana yang mereka ungkit dan bangkitkan suatu masa dahulu.
"Cuma, terdetik diminda saya, adakah Presiden dan Pemimpin UMNO yang sedang menduduki kerusi empuk Menteri dan Timbalan Menteri sudah tidak pedulikan ahli serta maruah UMNO? Jika itu yang terjadi, saya menzahirkan rasa simpati kepada Najib yang sudah pasti banyak jasa,” ulasnya.