Nahas 7 maut: Puspakom cari tayar lori tercabut punca kemalangan

Iklan
Tayar lori berjenama Foton hilang itu memiliki rim bersaiz 22.5 inci dengan anggaran berat sekitar 100 kilogram.

SHAH ALAM - Orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau maklumat tentang keberadaan tayar lori tercabut dalam kemalangan meragut tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada Disember lalu diminta tampil menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Mahmood Razak Bahman berharap agar maklumat yang diperoleh dapat menyempurnakan siasatan berhubung punca kemalangan.

Iklan
Iklan
Mahmood Razak. Foto Bernama

"Saya merayu agar sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam sebelum, semasa dan selepas kemalangan tersebut, terutamanya ketika tayar berkenaan dialihkan dari lokasi kemalangan untuk tampil dan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bahan-bahan bukti ini amat penting untuk membantu siasatan agar keluarga mangsa dan orang ramai mendapat suatu kepastian dan titik noktah berhubung tragedi ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, nahas di persimpangan tol Ayer Keroh, Melaka pada 23 Disember itu berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza turut mengakibatkan 33 mangsa lain cedera.

Iklan

Mengulas lanjut, Mahmood Razak berkata, berdasarkan laporan pemeriksaan awal Puspakom ke atas lori berjenama Foton yang terbabit dalam kemalangan tersebut mendapati tayar yang hilang itu memiliki rim bersaiz 22.5 inci dengan anggaran berat sekitar 100 kilogram.

"Tayar tersebut dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil dan berada di tengah jalan semasa kejadian seperti disahkan pemandu lori yang terlibat dan saksi-saksi kejadian.

"Puspakom telah memuktamadkan laporan siasatan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dan menyerahkan kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tetapi hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang keberadaan tayar tersebut boleh menghubungi PDRM atau memaklumkan kepada Puspakom di talian 03-5101 7000,” ujarnya.

Mengulas mengenai penahanan reman seorang lelaki yang dikaitkan dengan siasatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahmood Razak berharap ia dapat membantu membongkar sindiket yang didakwa mengawal sektor pemeriksaan.

"Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, Puspakom berbesar hati untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasa bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab menerima tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga menegaskan penggunaan tayar celup tidak mematuhi piawaian adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja memperjudikan nyawa pemandu, bahkan pengguna jalan raya.

"Dalam usaha kita untuk menjadikan jalan raya lebih selamat, pemilik kenderaan perdagangan juga perlu memastikan tayar digunakan adalah mematuhi piawaian ketahanan dan keselamatan seperti mana yang diperuntukkan oleh kerajaan.

"Penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian ini adalah sangat tidak bertanggungjawab sama sekali,” tambahnya.