PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menandakan lembaran baharu menerusi sokongan lebih besar kepada pemain serta jurulatih dalam usaha mencapai kecemerlangan peringkat antarabangsa.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam menyatakan rasa teruja terhadap kerjasama dengan Allianz Malaysia yang juga terlibat dalam pertandingan sukan bertaraf dunia termasuk Olimpik.
"Penglibatan aktif mereka dalam sukan Malaysia menjadikan kerjasama ini sangat bermakna, dan kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Allianz Malaysia dalam usaha memartabatkan badminton Malaysia.
"Sokongan daripada pemimpin korporat seperti Allianz Malaysia sangat penting dan akan memberikan sumbangan besar kepada kejayaan program-program kami.
"Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada BAM tetapi juga menjadi motivasi dan dorongan tambahan kepada pemain-pemain negara,” katanya.
Selain itu, Allianz Malaysia juga akan menjadi penaja utama bagi kejohanan Super 100 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Juara pada Oktober tahun ini.
Sebagai rekod, Allianz Malaysia sebelum ini menyokong badminton peringkat junior melalui Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) sejak 2022.
Tahun lalu, lebih 3,000 pemain muda menyertai 10 Pusingan Kelayakan pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Finalis dari setiap pusingan layak ke Grand Final AJBC dengan semua perbelanjaan termasuk pengangkutan dan penginapan ditanggung Allianz.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, Allianz komited menyokong sukan peringkat global melalui penajaan acara sukan utama termasuk Olimpik dan Paralimpik.
"Di Malaysia, kami telah bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi program atlet Para dan AJBC.
"Memandangkan kejayaan AJBC dan impaknya terhadap pemain junior, kami ingin meluaskan sumbangan kami kepada badminton negara di peringkat nasional dan yakin bahawa Allianz Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam memajukan dan meningkatkan sukan ini,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Sean Wang juga mengakui teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan BAM dan menyokong pelbagai program dan aktiviti mereka.
"Saya amat gembira untuk menjadi penaja utama bagi acara Allianz Malaysia Super 100 yang akan datang.
"Di samping bekerjasama rapat dengan BAM, Allianz Malaysia akan terus komited dalam memupuk bakat muda melalui program AJBC,” katanya.