Dr Dzulkefly pamer prestasi cemerlang

Iklan
Pencapaian setahun Dr Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan.

KEJAYAAN melaksanakan pelbagai transformasi dalam sektor kesihatan negara oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merupakan pencapaian bersama 270,000 anggota pasukan kementerian.

Keberanian dan kecekapan Dr Dzulkefly dalam melaksanakan pelbagai perubahan dalam tempoh yang pendek perlu diberi pengiktirafan dan menjadi contoh kepada pemimpin masa hadapan dalam memperkukuh sektor awam demi kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

Pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh beliau mengukuhkan kredibiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus memberi impak positif kepada sektor kesihatan negara dalam jangka panjang.

Dr Dzulkefly

Sebagai Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly telah membuat beberapa perubahan sistemik sebelum usaha reformasi boleh dikembangkan terutamanya dari segi reformasi undang-undang yang menjadi punca kuasa kepada kementerian. Oleh itu, rombakan harus bermula dengan penambahbaikan tatakelola.

Iklan

Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang merangkumi seluruh aspek perubatan negara adalah penting untuk merombak sistem latihan kepakaran perubatan di samping menambah baik beberapa aspek tatakelola amalan perubatan.

Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pula amat kritikal untuk membolehkan negara mempunyai tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang ancaman penyakit berjangkit, seperti mpox sebelum ini dan HMPV yang sedang menular.

Iklan

Selain itu, dasar-dasar kesihatan negara sejak bayi dalam kandungan hingga ke liang lahad (from womb to tomb) telah turut dirombak secara menyeluruh bagi memastikan seluruh gerak kerja KKM dan kerajaan dalam aspek kesihatan adalah terkini, cekap dan berkesan.

Malaysia kini semakin terserlah

Penganjuran MIH Megatrends 2024 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga mencatat sejarah kerana Malaysia memimpin wacana kesihatan global di rantau ini, manakala Royal College of Surgeons of Edinburgh telah memilih Malaysia sebagai lokasi kampus mereka di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan majlis penutup pameran IMDEC 2024 dan 28th Global Harmonization Working Party (GHWP), kedua-duanya adalah penting untuk industri peranti perubatan yang menjadi salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Bidang penyelidikan klinikal juga mencatat sejarah kerana menyaksikan lima kajian klinikal First-in-Human baharu tahun ini.

Dari segi bilangan penyelidikan klinikal tajaan industri pula, Malaysia kini berada di tangga teratas ASEAN.

Selain itu, agenda memerangi kerintangan anti mikrob (AMR) yang dipengerusikan oleh Dr Dzulkefly pada Mei lalu di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) di Geneva kini sudah diterima sebagai agenda kesihatan global oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September lepas.

Ini diikuti dengan Resolusi Kesihatan Paru-paru yang telah dikemukakan oleh Dr Dzulkefly di Kongres Kanser Sedunia (WCC) pada September lalu yang kini juga akan ke WHA 2025 pada Mei dan UNGA pada September depan.

Peningkatan 18% pengunjung kesihatan kepada 642,643 orang yang menyumbang kepada 22% peningkatan pendapatan kepada RM1.26 bilion untuk separuh pertama tahun ini menunjukkan keyakinan warga dunia kepada kualiti perkhidmatan kesihatan kita.

Secara mudahnya, Malaysia kini berdiri megah di persada dunia. Kualiti amalan perubatan dan sistem kesihatan kita diyakini oleh badan-badan antarabangsa.

Kemajuan teknologi

Kemajuan teknologi membantu meningkatkan kepantasan, kualiti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Bahagian Kesihatan Digital dan Bahagian Pengurusan Maklumat meneruskan agenda transformasi digital KKM, menuju ke arah Satu Individu Satu Rekod Kesihatan secara elektronik atau electronic medical record (EMR) untuk sepanjang hayat atau lifetime health record (LHR).

Pelaksanaan teknologi hijau dan mesra alam telah mencapai pencapaian yang cemerlang, contohnya beberapa fasiliti KKM menerima anugerah seperti ASEAN Energy Award 2024, Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) dan Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability (MyCREST).

Penjimatan tenaga elektrik sebanyak 1,097 GWh bernilai RM461 juta dan pengurangan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 702 tan secara kumulatif adalah bukti pencapaian ini.

Tingkatkan kapasiti kesihatan

KKM seperti juga pihak berkuasa kesihatan lain di banyak negara lain, berhadapan dengan cabaran sumber manusia untuk jangka pendek dan panjang.

Namun begitu, dengan pindaan Akta 50 yang telah dibuat, ekosistem amalan dan latihan kepakaran perubatan akan bertambah baik.

Contohnya, jumlah biasiswa untuk latihan kepakaran telah dinaikkan ke RM152.4 juta untuk tahun 2024, iaitu lebih dua kali ganda berbanding 2019-2023.

Ini juga salah satu strategi untuk mengekalkan bakat dalam sistem kesihatan awam kerana ia menyokong petugas kesihatan untuk mencapai aspirasi kerjaya mereka.

Pakar perubatan yang dilahirkan juga akan memangkin latihan lebih ramai pakar perubatan dan pegawai perubatan generasi seterusnya, maka meningkatkan kapasiti sistem kesihatan negara secara keseluruhan.

Selain itu, kebajikan petugas kesihatan juga menjadi keutamaan. Selain daripada kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kenaikan elaun tetap atas panggilan dan pelbagai insentif lain juga adalah usaha ke arah ini.

Sementara itu, penyampaian perkhidmatan di akar umbi amat bergantung kepada kepada kerjasama banyak pihak yang digembleng dengan penuh bersinergi melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation).

Program seperti KOSPEN dan PeKaB40 amat penting untuk memastikan rakyat membuat saringan kesihatan secara berkala agar sebarang penyakit dapat dikesan dan dikekang awal supaya komplikasi jangka panjang dapat diminimumkan.

Di bawah Skim Perubatan Madani, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menerima rawatan sakit-sakit ringan, sekali gus mengurangkan kesesakan di klinik-klinik kesihatan KKM.

INFO

Di bawah Hospital Services Outsourcing Programmme (HSOP) pula, perkhidmatan seperti kardiologi, pembedahan kardiotorasik, nefrologi serta radiologi dan pengimejan dialih daya (outsourced) kepada pihak swasta menggunakan kaedah pembelian strategik (strategic purchasing).

Ia melibatkan:

i. Pengurangan 75 peratus masa menunggu pesakit untuk pembedahan Arterio-Venous Fistula (AVF) iaitu dari 16 minggu kepada empat minggu.

ii. Pengurangan 20 peratus masa menunggu bagi prosedur MRI dan ultrasound, iaitu dari 20 minggu kepada 16 minggu.

Sebanyak 22,773 kes rujukan telah dibuat ke 94 hospital swasta panel terlibat melibatkan peruntukan sebanyak RM66.5 juta. Selain itu, pihak swasta seperti Yayasan MSU dan IHH Malaysia turut menyumbang melalui program masing-masing.

Penglibatan aktif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga amat membantu di akar umbi, contohnya dari segi penyampaian perkhidmatan hemodialisis.

KKM merupakan sebuah kementerian yang berpaksikan fasiliti, dan banyak aspek perkhidmatan pula bergantung kepada peralatan serta peranti perubatan yang memerlukan pelaburan besar.

Namun begitu, KKM terus komited untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan, bukan sahaja untuk membaik pulih dan menaik taraf fasiliti yang rosak serta daif, malah juga membina fasiliti baharu di lokasi-lokasi yang memerlukan dan melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk mengoperasikannya.