[VIDEO] Ulang-alik 30km cari siput belitung

Iklan

BACHOK - Pasangan suami isteri dari Kampung Kok Lanas, Kota Bharu sanggup berulang-alik lebih 30 kilometer ke Sungai Kandis di sini untuk mencari siput belitung yang menjadi sumber rezeki mereka sejak empat bulan lalu.

Norhana Ibrahim, 45, dan suami, Mohamad Zalif Iman Zulkefli, 29, mencari siput belitung di bawah jambatan Sungai Kandis itu tiga kali seminggu iaitu Rabu, Jumaat dan Sabtu.

Iklan
Iklan
Norhana menunjukkan siput belitung yang dikutip di Sungai Kandis.

Pasangan itu dapat mencari lebih 100 kilogram (kg) siput dalam tempoh tiga jam berada di sekitar sungai berkenaan dan lebih banyak jika cuaca panas.

"Saya mendapat tahu banyak siput di kawasan ini daripada rakan selepas mereka melihat kami mencari siput ini di beberapa sungai di sekitar Kota Bharu," katanya ketika ditemui di lokasi itu pada Sabtu.

Iklan
Norhana mengutip siput belitung di Sungai Kandis.

Norhana memberitahu, siput belitung mudah didapati di kawasan tepi sungai dan tidak sukar untuk mengutipnya kerana air jernih terutama ketika cuaca panas.

Katanya lagi, mereka hanya menggunakan tangan untuk mengambil siput yang berkumpul pada tumbuhan di dalam sungai dan tiang jambatan.

Iklan

"Masa mengutip siput juga tidak menentu tetapi rezeki kami lebih banyak jika air surut," katanya.

Ibu empat anak berusia tiga hingga 26 tahun itu juga menjelaskan siput belitung mendapat sambutan daripada pelanggan yang kebanyakannya peniaga kedai makan di sekitar kawasan Kadok.

Norhana memberitahu, rasa siput belitung lebih enak berbanding siput sawah yang sedikit pahit.

Katanya lagi, siput itu enak dimasak lemak kuning dan pelanggan yang menyedarinya pasti menempah menu berkenaan.

Menurutnya lagi, siput yang siap dipotong dijual pada harga RM8 sekilogram.

"Alhamdulillah, jika sebelum ini siput belitung mungkin tidak dikenali terutama generasi baharu namun kini semakin mendapat sambutan kerana rasanya lebih enak berbanding siput sawah," katanya.