GEORGETOWN - Sebuah klinik di Lebuh Nanning di sini disita semalam selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjual sijil sakit tanpa rekod kepada orang awam sekitar bandar ini.
Sebelum ini, lesen operasi klinik tersebut ditarik semula pada 10 Disember tahun lalu selepas pemeriksaan mendapati ubat-ubatan di situ telah luput tarikh.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata, pihaknya juga mendapati klinik tersebut tidak mengambil sebarang tindakan selepas diberi amaran mengenai perkara itu.
Menurutnya, selepas diberi tempoh untuk pihak klinik mengambil tindakan, keadaan di klinik tersebut didapati masih sama.
"Pada tahun 2018, kita sudah membuat pemantauan dan mendapati banyak ubat di situ sudah luput tarikh selain tiada pendaftaran pesakit dan penyakit seperti di klinik lain. Malah, keadaan ubat di klinik itu juga berada dalam keadaan tidak bersusun.
"Oleh itu, kita beri amaran dan bagi tempoh untuk mereka perbaiki namun apabila pemeriksaan seterusnya, keadaan masih sama. Pada 10 Disember tahun lalu, dengan kebenaran kementerian, kita menarik semula lesen operasinya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Asmayani berkata, pemantauan juga mendapati klinik tersebut masih beroperasi walaupun lesen operasinya telah ditarik balik.
"Klinik itu didapati masih beroperasi seperti biasa walaupun lesen operasinya telah ditarik malah 'Certificate of Registration' (COR) nya juga tidak dipulangkan. Ini bermakna, status klinik pada waktu ini adalah klinik tidak berdaftar.
"Selepas mendapat waran dari mahkamah, kita membuat serbuan dan tindakan menyita telah dijalankan. Antara kesalahannya adalah menjual sijil sakit tanpa pemeriksaan, tiada pendaftaran pesakit, beroperasi tanpa lesen dan statusnya sebagai klinik tidak berdaftar. Kita sudah bagi banyak masa untuk klinik ini tetapi pihaknya masih berdegil," katanya.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan pada jam 3 petang semalam itu melibatkan 15 pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.
Antara barangan yang dirampas adalah buku sijil sakit, resit, buku bil dan cop nama.