KLUANG - Seorang lelaki patah paha kanan manakala tiga lagi individu cedera dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 77.5, Jalan Yong Peng – Kluang, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, nahas dipercayai berlaku pada jam 3 petang melibatkan sebuah lori treler jenis Scania, kereta Proton Saga, kereta Perodua Bezza dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.
"Hasil siasatan mendapati, ekor belakang lori jenis Scania yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan ke arah bulatan T6 menuju ke arah Renggam telah terjatuh di bahu jalan kiri.
"Pemandu terbabit cuba menaikkan semula hingga menyebabkannya memasuki laluan bertentangan hingga melanggar kereta Proton Saga, Perodua Bezza dan Mitsubishi Triton yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Bezza, seorang lelaki berusia 26 tahun patah paha kanan dan luka di tangan kiri sementara seorang penumpang wanita berusia 24 tahun mengalami luka di kaki kiri dan luka di tangan kiri.
"Selain itu, pemandu Proton Saga mengalami luka di bahagian kening sementara lelaki yang memandu Mitsubishi Triton, luka di tangan kanan dan kening muka kanan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi menerima rawatan lanjut.
Dalam masa sama, ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas pemandu lori treler di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kluang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.