NILAI - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 29.1 Lebuhraya Kajang-Seremban arah selatan pada Sabtu.
Kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu menyebabkan mangsa berusia 21 tahun maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha berkonvoi dengan rakannya ke Senawang.
"Namun ketika dalam perjalanan, mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan kerana dipercayai mengalami masalah pada bahagian enjin.
"Pada masa sama, pemandu kenderaan berusia 50-an dan anak lelakinya berusia 30-an yang berada di luar kenderaan ketika itu turut dirempuh," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan rakan mangsa berusia 30-an yang menunggang motosikal berlainan hilang kawalan dan terjatuh ketika cuba mengelak.
Ujarnya, perlanggaran pertama menyebabkan mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.
"Rakannya pula cedera di bahagian tangan kiri dan telah mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di sini.
"Mereka merupakan rakan sekerja dan dalam perjalanan ke Senawang untuk makan malam," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," ujar beliau.