Penggemar kopi telan 'pahit' lonjakan harga, kekurangan bekalan global

Iklan
Kalangan penggemar kopi yang sememangnya membayar mahal untuk menikmati minuman kegemaran susulan lonjakan harga biji kopi. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kalangan penggemar kopi yang sememangnya membayar mahal untuk menikmati minuman kegemaran susulan lonjakan harga biji kopi, kini perlu terus menelan ‘kepahitan’ itu dengan memilih alternatif berpatutan seperti membancuh sendiri atau mengehadkan pengambilan minuman berkenaan.

Realiti di sebalik tegukan itu bukan sekadar di mulut, tetapi turut bersandarkan wang yang ada dan pastinya makin terasa apabila harga biji kopi global terus melonjak akibat faktor cuaca di negara-negara pengeluar utama seperti Brazil dan Vietnam.

Iklan
Iklan

Dua negara itu merupakan pengeluar utama biji kopi Arabica dan Robusta dengan bancuhan kopi popular ini di serata dunia, termasuk di Malaysia.

Berikutan itu, kalangan penggemar kopi di Malaysia tidak terkecuali daripada impak kekurangan biji kopi serta harga minuman itu.

Iklan

Pada bulan lepas misalnya, harga niaga hadapan biji kopi Robusta dilaporkan melangkaui US$5,500 satu tan - paras tertinggi sejak awal 2008.

Harga biji kopi Arabica juga melonjak lebih US$7,300 satu tan yang kali terakhir dicatatkan pada 1977.

Iklan

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini mengimport sebahagian besar biji kopi dari Vietnam, Indonesia dan Brazil dengan purata rakyat Malaysia mengambil 2.2 kilogram kopi pada 2022 iaitu peningkatan 5.2 peratus daripada 2017.

Kini, seiring kenaikan kos, penggemar minuman itu perlu mengubah selera dengan sebahagian besarnya memilih alternatif yang lebih berpatutan.

Berkongsi pengalamannya kepada Bernama, pekerja swasta dan penggemar minuman kopi, Luqman Hakim Kamaruzzaman, 29, berkata beliau membelanjakan RM120 sehingga RM150 seminggu untuk menikmati kopi.

Bagaimanapun, susulan kenaikan harga kopi, beliau terpaksa bertindak membeli biji kopi dan membancuh sendiri minuman itu.

Baginya, harga secawan kopi yang melebihi RM15 sememangnya mahal dan memerlukannya untuk lebih memilih.

"Saya boleh bancuh sendiri kopi ini dengan membeli biji kopi daripada kedai khusus yang menjual bahan itu. Cara ini membantu saya lebih berjimat dalam menikmati minuman ini,” katanya.

Nurul Huda Muhammad Noor, 45, pula menyifatkan kenaikan harga biji kopi menyebabkannya terpaksa mengurangkan kekerapan pengambilan minuman itu berbanding sebelumnya.

"Ya, saya memang peminum kopi yang tegar, tetapi sekarang terpaksa mengurangkannya sedikit atas alasan kesihatan dan kewangan.

"Saya perlu bertahan dan hanya menikmati kopi ketika di majlis atau jika ada pertemuan di luar,” kata pengurusan media sosial.

Bagi Ahmad Hijazi Mohd Faizal, 27, yang berbelanja kira-kira RM30 seminggu bagi menikmati kopi, kini lebih mengutamakan pilihan lebih murah seperti membeli produk keluaran tempatan atau gerai minuman yang menawarkan minuman itu pada harga lebih berpatutan.

Namun, pekerja swasta ini mengakui tidak semua kedai kopi tempatan mampu menepati selera kopinya yang banyak dipengaruhi oleh kualiti biji kopi yang digunakan. - Bernama