AKSI panas Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Liverpool dan Manchester United pada awal pagi Isnin mungkin ditunda susulan ramalan cuaca buruk di Merseyside.
Selepas banjir melanda kawasan itu minggu ini, barat laut dijangka menghadapi lebih banyak keadaan cuaca buruk dalam tempoh 24 jam akan datang.
Pejabat Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca buruk di seluruh kawasan itu apabila keadaan salji dan ais mula mencair, selain hujan lebat dijangka melanda.
Suhu dijangka jatuh di bawah paras beku berhampiran Anfield pada awal pagi Ahad waktu tempatan yang boleh menyebabkan keadaan berbahaya bagi penyokong di stadium.
"Salji dijangka berterusan dan kadangkala lebat apabila ia bergerak dari selatan ke utara merentasi kawasan yang berisiko.
"Selain salji, tempoh hujan beku juga dijangka membawa keadaan perjalanan berbahaya sebelum udara lebih ringan menyusul merentasi semua kawasan menjelang pagi ini," kata Pejabat Meteorologi dalam satu kenyataan.
Liverpool ketika ini kian selesa di puncak liga dalam misi melebarkan kelebihan kepada lapan mata selepas Arsenal kehilangan dua mata di Brighton sambil mahu memberi lebih tekanan kepada musuh setempat mereka yang semakin tertekan.
The Sun melaporkan bahawa mesyuarat Kumpulan Penasihat Keselamatan dijangka diadakan pada awal pagi ini.
Ia akan dihadiri oleh pegawai dari kedua-dua kelab dan wakil dari Polis Merseyside, selain wakil Majlis Bandaraya Liverpool.