'Terima kasih bantu asnaf'

Iklan
Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin yang mencemar duli pada program Jelajah Sinar Untuk Rakyat membuktikan sokongan baginda terhadap program seperti ini.

BESERI - Penganjuran Jelajah Sinar Untuk Rakyat di Masjid Jamek Beseri, di sini berjaya memberikan impak positif sekali gus membantu masyarakat setempat yang memerlukan perhatian terutamanya golongan asnaf.

Pengerusi Masjid Jamek Beseri, Profesor Madya Dr Mohd Akram Dahaman berkata, program yang dilaksanakan Sinar Harian dengan kerjasama penaja utama Yayasan Bank Rakyat secara tidak langsung melibatkan pihaknya untuk menganjurkan program berskala besar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada satu-satu masa, sumber kewangan masjid yang berada di luar bandar itu tidak mencukupi bagi menampung keperluan sesuatu program.

"Kami di peringkat masjid sering menghadapi kekangan kewangan terutama untuk masjid di luar bandar. Program seperti ini memerlukan bajet yang besar.

Iklan

"Program ini memang membantu masjid kami secara tidak langsung dan terima kasih kepada Sinar Harian dan Yayasan Bank Rakyat kerana menjelajah rumah-rumah asnaf untuk memberi bantuan dan menyediakan program kepada pelajar di kawasan Perlis terutama di Berseri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata lagi, keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mencemar duli mengayuh basikal pada jelajah ini pada Sabtu membuktikan sokongan baginda terhadap program seperti ini.

Iklan

Menurutnya, masjid tersebut mengalu-alukan kerjasama daripada Sinar Harian dan Yayasan Bank Rakyat untuk terus menganjurkan program lain dalam memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

"Ada banyak lagi kaedah lain yang kita boleh eksplorasi, mungkin dari segi pendidikan dan lain-lain.

"Terima kasih. Sebagai pengerusi masjid, kami sedang merancang untuk mengembangkan aspek dakwah dan memberikan khidmat kepada masyarakat.

"Masjid bukan sahaja tempat untuk melaksanakan ibadah, tetapi juga untuk menyebarkan dakwah dan membantu masyarakat," katanya.

Pada Sabtu, 200 orang yang terdiri daripada golongan memerlukan menerima bantuan bakul rezeki sempena Jelajah Sinar Untuk Rakyat.