PUTRAJAYA - Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 6 hingga 7 Januari bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 pada Selasa.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan Lawrence akan diiringi oleh isterinya Loo Tze Lui, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong serta beberapa menteri lain.
"Perdana Menteri Lawrence akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Satu kenyataan akhbar bersama akan dikeluarkan selepas Pemukiman itu,” menurut Kementerian Luar Negeri yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra.
Semasa lawatan itu, kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
"Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU), dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan,” menurut Wisma Putra.
Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang.
Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. - Bernama