Pas dinasihatkan tidak derhaka titah Agong

Iklan
Suhaizan (kiri), Muhammad Faezuddin

JOHOR BAHRU – Pas dinasihatkan agar tidak derhaka apabila berhasrat mahu terus mengadakan perhimpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum, esok.

Menurut Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, Pas juga tidak perlu mengajar Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Iklan
Iklan

"Banyak ruang politik yang Pas boleh digunakan untuk bangunkan rakyat dan negara. Bukannya asyik nak tebuk atap sahaja (tubuh kerajaan ikut pintu belakang).

⁠”Sebagai contoh, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari memuatkan hantaran dalam Facebook miliknya yang mengecam UMNO dan mereka yang menghalang UMNO berhimpun.

Iklan

"Ini secara tidak langsung telah menggambarkan kekecewaan ahli Parlimen dan pimpinan Pas terhadap kebijaksanaan UMNO mengelak perangkap Pas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Untuk rekod, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Iklan

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan pada Sabtu, memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Sahaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, Pas hanya mahu mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan politik menerusi isu tersebut.

Katanya, apabila UMNO mengumumkan akan membuat himpunan solidarity tersebut katanya, Pas mengambil peluang untuk mendapatkan populariti peribadi sambil cuba memecahkan kerajaan Madani, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ahli-ahli Pas seluruh negara yang tidak tahu hujung pangkal telah dikerahkan untuk hadir (himpunan solidarity), sedangkan sebelum ini, Pas dianggap sebagai penentang kuat Datuk Seri Najib tetapi tiba-tiba berubah 360 darjah kononnya simpati pada Datuk Seri Najib,” ujarnya.

"Oleh itu, UMNO yang menyedari permainan politik murahan Pas itu mengambil tindakan pantas membatalkan himpunan itu walaupun tetap mengekalkan sokongan terhadap Najib,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, Pas tidak perlu mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam polemik berkenaan isu penarikan UMNO dalam perhimpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan berlangsung esok (Isnin).

Katanya, tindakan sedemikian sebenarnya amat tidak bertanggungjawab dan boleh menjadi beban besar kepada Najib dan pasukannya.

"Tindakan Pas boleh memberikan kesan negatif kepada imej Najib Razak, yang kini memerlukan sokongan dan bukannya kontroversi.

"Jika benar Pas cuba tujukan (sindiran dalam hantaran Facebook Ketua Perangan Pas, Ahmad Fadhli Saari) kepada Yang di-Pertuan Agong, maka Najib Razak yang terima sokongan daripada Pas juga akan terpalit sebagai derhaka kepada Agong dan Raja-raja Melayu.

"Jadi, pasukan Najib Razak harus mempertimbangkan dengan serius untuk menjauhkan diri daripada Pas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dakwa Muhammad Faezuddin, hantaran Ahmad Fadhli itu kini tular dan kecoh hingga menimbulkan spekulasi dalam kalangan rakyat bahawa hantaran itu mungkin ditujukan kepada UMNO.

"Hantaran tersebut menjadi kontroversi besar dan jelas Pas seperti cacing kepanasan apabila UMNO membatalkan perhimpunan berkenaan,” katanya.