Ahmad Fadhli nafi hantaran kiasan berniat hina Agong

Iklan
Ahmad Fadhli Shaari

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menafikan hantaran kiasan di sosial media beliau mempunyai kaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan cubaan mengaitkan nama Sultan Ibrahim dalam isu berkenaan walhal secara jelas tiada mana-mana bahagian dalam titah Baginda yang melarang perhimpunan pada Isnin.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli sedia disiasat berhubung dakwaan menghina institusi Diraja.

"Tiada mana-mana bahagian dalam hantaran saya itu yang diniatkan dan boleh dianggap demikian (menghina Sultan Ibrahim).

Iklan

"Nasib baiklah Pemuda UMNO (Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh) mengisytihar bahawa mereka akan hadir dan ini membuktikan mereka juga memahami kehadiran di himpunan itu bukanlah bererti derhaka kepada Agong.

"Persoalannya, kenapakah pemahaman Pemuda UMNO berbeza dengan pemahaman Presiden dan Setiausaha Agung UMNO?

Iklan

"Jadi jelas, Yang di-Pertuan Agong tiada kaitan dengan hantaran saya itu. Walaupun demikian, selaku rakyat Malaysia, Pemuda Amanah (Pemuda Parti Amanah Negara) berhak untuk membuat laporan polis, dan saya sebagai warganegara Malaysia, tentulah bersiap sedia untuk disiasat sebagaimana proses keadilan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ahmad Fadhli dalam hantaran di media sosialnya berkongsi ungkapan 'Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban'.

Kiasan berbaur sindiran dikongsi Ahli Parlimen Pasir Mas itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemimpin politik dan wakil rakyat, yang mempersoalkan maksud serta tujuan hantaran berkenaan.

Ini kerana walaupun tanpa maksud jelas, hantaran berkenaan dimuat naik selepas UMNO mengumumkan untuk tidak menyertai perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin.

Ia menyusul beberapa jam selepas Istana Negara meminta semua pihak agar menghormati perlembagaan dan undang-undang berhubung sebarang permohonan banduan mendapatkan pengampunan atau keringanan hukuman.

Susulan itu, Pemuda Amanah di seluruh negara diarah segera membuat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli.

Menurut Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda, Pemuda Amanah Nasional memandang serius kenyataan Ahmad Fadhli yang dianggap menghina institusi diraja.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli berkata, beliau sedia mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Amanah berdasarkan perkembangan yang bakal berlaku.

Namun katanya, pada masa ini beliau menyifatkan tiada keperluan untuk berbuat demikian mengambil kira ahli Amanah merupakan sahabat ketika bersama Pas.

"Melainkan dengan pihak-pihak tertentu, saya beranggapan (sehingga sekarang) kawan-kawan dalam dunia politik ini tidaklah perlu sampai ke mahkamah.

"Laporan polis ini juga membuktikan Pemuda Amanah masih lagi ada, dan setidak-tidaknya ada aktiviti yang boleh dilaporkan di dalam buku mesyuarat tahunan. Lagipun, jika tidak pertahankan DAP, apa lagi yang boleh mereka lakukan?,"ujarnya sinis.