KUALA LANGAT - Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) cedera setelah ambulans dinaiki melanggar sebuah kren di Jalan Garuda, Batu 9 Kebun Baru, Telok Panglima Garang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 petang.
"Masa sama sebuah ambulans milik APM dari arah Rimbayu menuju ke Sijangkang melanggar besi di atas kren terbabit yang terjulur di hadapan laluan ambulans," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan ambulans itu mengalami kerosakan di bahagian belakang.
"Kemalangan mengakibatkan seorang anggota wanita APM yang duduk di bahagian belakang ambulans terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka.
"Mangsa yang berumur lingkungan 20-an itu dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Menurutnya, bagaimanapun pemandu kren serta pemandu ambulans masing-masing berumur 40-an dan 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Sohairi Manaf ditalian 019-9993077 atau 03-31872222 untuk membantu siasatan," katanya.