'Ini kali pertama datang Kota Bharu' - Murid Orang Asli

Iklan
Murid Orang Asli yang beratur untuk mencuba pakaian sekolah masing-masing.

KOTA BHARU - Seramai 35 murid Orang Asli dari suku Temiar di Gua Musang menempuh perjalanan selama lima jam menggunakan kereta api untuk datang membeli-belah uniform dan kelengkapan persekolahan bagi sesi 2025 di Pasar Raya Besar Mydin di Tunjong di sini pada Ahad.

Mereka ada di antaranya pertama kali menjejakkan kaki ke daerah Kota Bharu melalui Program Kembali ke Sekolah yang dibawakan oleh Pertubuhan Anak Yatim Miskin Kelantan (Payatim Kelantan).

Iklan
Iklan

Seorang murid, Sukri Jinie, 10, berkata, dia bangun seawal jam 4 pagi kerana begitu teruja untuk menyertai rombongan dijalankan bersama sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah, Gua Musang.

Murid Orang Asli yang menaiki kereta api untuk membeli-belah uniform sekolah.

Iklan

"Kami naik kereta api pada jam 6 pagi tadi dan sampai di Wakaf Bharu, Tumpat pada jam 10 pagi sebelum menaiki bas ke Mydin untuk membeli baju serta kasut sekolah baharu.

"Saya pertama kali datang ke Kota Bharu dan sangat gembira kerana turut dibawa melawat ke muzium serta lapangan terbang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pasar raya terbabit pada Ahad.

Iklan

Sementara itu, Yang Dipertua Payatim Kelantan, Mhd Nor Jusoh berkata, bermula 2019, pihaknya sudah membantu lebih 500 Orang Asli termasuk tiga rumah yang akan dibina di daerah Gua Musang melibatkan satu di Kuala Lah dan dua di Aring 5 pada bulan ini.

Mhd Nor (kanan) mencuba saiz baju kepada murid Orang Asli.

"Rumah asnaf yang akan dibina itu diperuntukkan RM47,000 kos setiap rumah kepada tiga keluarga Orang Asli.

"Bagi bantuan kelengkapan persekolahan pula adalah usaha dan komitmen kami dalam memastikan pendidikan yang berkualiti diterima oleh Orang Asli untuk masa depan lebih baik kepada komuniti itu,” katanya.

Tambah beliau, bantuan persekolahan RM350 setiap seorang meliputi dua pasang uniform, seluar sukan, beg dan kasut itu turut diberikan kepada 35 lagi murid Orang Asli dari SK Pasir Linggi, Gua Musang serta lima anak yatim dari SK Bunut Payong, di sini.

Murid Orang Asli Gua Musang yang tiba di Tunjong di Kota Bharu pada Ahad.

"Kami turut mempunyai peruntukan barangan persekolahan bernilai RM250,000 yang akan diagihkan kepada murid mangsa banjir di Tumpat dan Pasir Mas selepas ini,” katanya.