KUALA KRAI - Lebih 1,000 penduduk di Kampung Bukit Budu yang mengalami masalah air bersih kira-kira 30 tahun lalu selesai selepas pembinaan saluran air hasil kerjasama Etiqa dan Islamic Aid Malaysia (AIM).
Penduduk yang ditemui mengakui tidak lagi perlu membeli air untuk mendapatkan air bersih untuk minuman terutama ketika kenduri dan perayaan.
Penduduk, Che Rabihah Musa, 43, berkata, sebelum ini dia membelanjakan kira-kira RM20 sebulan untuk membeli air minuman kerana air tandak dari bukit kurang bersih.
Che Rabihah juga mengakui sukar mendapat bekalan air bersih pada musim tengkujuh susulan hujan yang mengakibatkan air keruh.
"Alhamdulillah, saya kini dapat menjimatkan wang dan tidak perlu lagi membeli air untuk minuman," katanya ketika ditemui selepas Majlis Etiqa Melancarkan Projek Air Bersih Etiqa di Kampung Bukit Budu pada Ahad.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Ab Halim dan turut dihadiri Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM) Zawahir Abdullah.
Bagi Mohd Noor Deraman, 57, pula naik taraf tandak air kira-kira tiga kilometer dari kawasan penempatan melegakan penduduk kampung itu.
Mohd Noor yang juga Setiausaha Jawatankuasa Air berkata, sistem yang lebih moden membolehkan penduduk mendapat bekalan air bersih walaupun pada waktu puncak.
"Sebelum ini aliran air sangat perlahan terutama pada jam 12 tengah hari selain keadaan air keruh," katanya.
Katanya lagi, penduduk juga bersyukur kerana tidak lagi menghadapi masalah pada bulan Ramadan kerana penduduk sibuk menyediakan keperluan berbuka puasa.
Sementara itu, Zafri berkata, mereka turut menggantikan paip lama yang rosak dan uzur untuk menyalurkan air terawat dirawat ke rumah penduduk kampung.
"Projek Air Bersih Etiqa ini menggunakan sistem graviti untuk menyalurkan air dari tandak air melalui saluran sepanjang kira-kira tiga kilometer dari muka sauk ke rumah pam.
"Air tersebut akan ditapis serta dirawat terlebih dahulu menggunakan sistem penapis air membran sintetik berskala tinggi sebelum disimpan di dalam tangki simpanan berkapasiti 5,000 gelen yang disediakan," katanya.