KOTA KINABALU - Tindakan mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 sepatutnya tidak timbul dan ia disifatkan secara langsung mempertikaikan peranan Yang di-Pertuan Agong yang terlibat dalam proses pelantikan tersebut.
Mempertikaikan pelantikan itu yang merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak wajar melantik TYT Sabah boleh dianggap sebagai salah satu elemen 3R (raja, agama dan kaum).
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad menjelaskan bahawa pelantikan Tun Musa merupakan proses rasmi dalam pelantikan sebagai seseorang Tuan Yang Terutama (TYT).
"Justeru, tindakan mempersoalkan pelantikan TYT sepatutnya tidak timbul sekiranya mana-mana pihak memahami bahawa wujud peranan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenan serta menganugerahkan watikah pelantikan TYT.
"Keadaan di mana individu atau kumpulan mempersoalkan pelantikan TYT secara tidak langsung mempertikaikan peranan Yang di-Pertuan Agong iaitu pihak yang terlibat dalam proses melantik TYT itu sendiri.
"Oleh itu, sebarang perkataan atau ungkapan yang meletakkan atau merujuk Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak wajar melantik TYT Sabah Ke-11 boleh dianggap sebagai salah satu elemen 3R," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, polemik dan kritikan yang agak sinikal terhadap pelantikan Tun Musa selaku TYT, secara tersirat mengaitkan elemen raja.
"Ia merupakan wacana secara terbuka yang menjadi sebahagian daripada larangan mengikut konteks 3R itu sendiri," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong supaya pihak istana campur tangan berhubung pertikaian pihak tertentu dalam pelantikan TYT Sabah.
"Kita minta pihak polis bertegas termasuk Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM (jika berlaku penghinaan terhadap TYT).
"Kami juga akan menghantar laporan ini termasuk memorandum kepada yang di-Pertuan Agung, Insya-ALLAH minggu hadapan bagi meminta yang di-Pertuan Agung tolong campur tangan.
"Adakah kerana Sabah ini begitu jauh daripada Semenanjung, sehingga proses ini lambat? Sebab polis ini hanya menjalankan siasatan, akhirnya Jabatan Peguam Negara dan SKMM yang ambil tindakan.
"Sebab di sini tidak ada raja, 3R ini kita tahu untuk raja, agama dan kaum. Di sini hanya ada TYT dan begitu juga Sarawak. Adakah mereka ini terpakai dalam 3R?
"Sebab itu kita akan hantar satu memorandum kepada yang di-Pertuan Agung supaya 3R ini tolong masukkan sekali untuk TYT. Ini atas lantikan daripada yang di-Pertuan Agung, atas izin daripada yang di-Pertuan Agung," tegasnya.