Tular anak pindah ibu bapa guna kren pengangkat

Iklan
Aisyah menunjukkan kren yang dipasang bagi memudahkan urusan penjagaan orang tuanya. Foto Ihsan Aisyah

ROMPIN – Keputusan seorang bapa lumpuh untuk menggunakan 'hoist crane' atau kren pengangkat sebagai alat bantu bagi memudahkan pengurusan anak-anaknya merupakan idea yang jarang difikirkan oleh orang ramai.

Aisyah Ishak, 26, berkata, bapanya, Ishak Ahmad, 70, menghidap penyakit saraf yang menyukarkan pergerakan sejak lima tahun lalu, manakala ibunya, Basariah Husin, 63, tidak mampu mengurus diri selepas diserang angin ahmar tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bapanya mengambil inisiatif tersebut kerana tidak mahu membebankan anak-anak yang terpaksa mengangkat mereka setiap kali.

"Saya dan abang (Muhammad Fitri, 27) serta adik bongsu (Muhammad Aiman, 23) mengurus segala keperluan ayah dan ibu, dan boleh katakan mencabar untuk angkat mereka berdua.

Iklan

Sebelum ini, Aisyah memuat naik rakaman video di TikTok mengenai penggunaan kren untuk mengangkat ibu bapa yang tiada keupayaan bergerak.

Rakaman tersebut mendapat perhatian ramai yang terkesan dengan pengorbanan mereka dalam menjaga orang tua.

Iklan

Ishak menghidap penyakit saraf dan Basariah pula tidak mampu bergerak akibat serangan angin ahmar. Foto ihsan Aisyah

Tindakan Aisyah dan abangnya itu telah memberi inspirasi kepada orang lain mencari penyelesaian sama seperti dilakukan mereka.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu memberitahu, alatan tersebut dibeli pada harga RM340 melalui platform dalam talian dan dipasang sendiri.

Tambahnya, mereka kemudian membuat kain sokongan khas dengan menempahnya pada tukang jahit bagi memudahkan proses mengangkat dilakukan.

"Kami belajar cara pasang sendiri dan meletakkan kren pada alang rumah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan semasa digunakan.

"Alhamdulillah, ia bukan sahaja memudahkan pengurusan harian, tetapi juga memberi keselesaan kepada ibu dan ayah," jelasnya yang kini menetap di Felda Keratong 6.

Aisyah turut berkongsi bahawa ibu bapa mereka kini tidak lagi merasa kesakitan semasa proses pengangkatan, berbanding sebelumnya yang memerlukan banyak tenaga.

"Walaupun ada adik-beradik lain yang mampu memberi bantuan kerana mereka berada di perantauan, tapi setiap kali mereka pulang, pasti mereka akan membantu menguruskan ibu dan ayah.

"Namun, ibu dan ayah lebih selesa jika kami yang menguruskan," ujarnya, yang kini mengikuti program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) secara dalam talian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama abangnya.

Sementara itu, adik bongsu mereka masih melanjutkan pelajaran di Politeknik Muadzam Shah di sini.