SHAH ALAM - Proses pelaksanaan tahanan di rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil masa dan tidak berkuat kuasa serta-merta.
Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin hanya menentukan sama ada kebenaran meneruskan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum boleh diberikan atau tidak.
Beliau turut mengulas beberapa senario yang bakal berlaku berdasarkan jangkaan ketetapan institusi itu pada hari tersebut.
"Kalau boleh (kebenaran), bermakna Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Najib boleh meneruskan semakan kehakiman.
"Kalau Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, jika Najib masih mahu, boleh memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan ahli Parlimen Pekan itu pada Isnin berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut.
Ujar Shamsuddin, Najib perlu memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mandamus bagi membolehkan bekas Presiden UMNO itu menjalani perintah tahanan berkenaan.
Menurutnya, bagaimanapun Mahkamah Tinggi pada 3 Julai tahun lalu menolak permohonan kebenaran semakan tersebut, sekali gus membawa kepada tindakan Najib untuk membuat rayuan bagi mengetepikan penolakan berkenaan.
"Sebelum tarikh pendengaran rayuan itu, anaknya, Datuk Muhammad Nizar Najib memfailkan afidavit yang didakwa adalah Adendum dari Istana Pahang.
"Pihak responden yang diwakili oleh kamar Peguam Negara, memohon membuat pengesahan kepada kandungan afidavit berkenaan, di mana perkara itu kemudian dibenarkan.
"Maka esok, Mahkamah Rayuan akan menentukan sama ada kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman itu boleh diberi atau tidak," ujarnya.