KULIM - Kerajaan negeri berharap agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan agar Pulau Langkawi tidak lagi dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu perlu diambil serius agensi berkaitan bagi memastikan perairan negara tidak dibolosi seperti berlaku Jumaat lalu.
"Saya harap tiada agensi yang membiarkan perairan kita bocor, kalau tak bocor macam mana boleh mendarat, makna ada kebocoran lah. Saya harap hal-hal ini diambil serius agensi berkaitan," katanya yang kejadian seumpama itu kerap berlaku di Langkawi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kulim Smart Pay di sini, pada Ahad.
Jumaat lalu, media melaporkan sebuah bot yang membawa 196 orang etnik Rohingya ditahan selepas mendarat di Teluk Yu, Langkawi, pada jam 3.25 pagi.
Pada Sabtu, dua lagi bot yang membawa kira-kira 300 PATI dari Myanmar itu diusir oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang berjaya mengesan kedudukan mereka di dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi.