KUALA KRAI - Tiada sebarang masalah serius untuk melaksanakan projek air tandak di atas bukit di kawasan pedalaman di seluruh negara bagi membekalkan air bersih kepada penduduk.
Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah berkata, sebagai agensi pelaksana, mereka memilih lokasi sesuai untuk meletakkan tangki air.
Beliau memberitahu, semua agensi kerajaan termasuk jabatan perhutanan negeri jabatan kerja raya di negeri terbabit memberi kerjasama untuk melancarkan projek terbabit.
"Di Kelantan ada pemilik tanah yang mewakafkan tanah mereka sekali gus memudahkan kami menyediakan tapak tangki air bersih dan sistem rawatan air ke kediaman penduduk yang memerlukan," katanya.
Sebanyak 22 tangki air bersih telah dibina membabitkan lebih 20,000 penduduk menerusi Projek Bekalan Air Bersih Etiqa sejak tahun 2017.
Selain itu katanya, projek ini tidak melibatkan penebangan hutan dan kayu balak.
Zawahir sebelum itu menghadiri Majlis Etiqa Melancarkan Projek Air Bersih Etiqa di Kampung Bukit Budu pada Ahad yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim.
Penduduk Kampung Bukit Budu mengalami masalah air bersih lebih 30 tahun lalu dan mereka bergantung kepada sumber bekalan air bukit daripada anak sungai berhampiran.
Tadahan air sedia ada tidak mampu menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah selain kerosakan pada paip air lama yang kerap bocor.