REMBAU - Seorang gadis maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai mengubah haluan tanpa memberikan signal di Kilometer 41 Jalan Seremban-Tampin di sini pada Ahad.
Kejadian jam 11.35 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Tampin menghala ke Seremban.
"Namun sebaik sampai di tempat kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandu seorang wanita berusia 34 tahun dari lorong tengah telah cuai mengubah haluan ke lorong kiri.
"Kenderaan itu kemudiannya telah membelok ke simpang kiri yang mengakibatkan mangsa yang datang dari arah belakang di lorong kiri gagal mengelak lalu melanggar sisi kiri kenderaan," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Menurutnya, mangsa kemudiannya telah melanggar tembok batu hiasan di sebelah kiri yang berada di atas tembok longkang.
Ujarnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.
"Pemandu kenderaan pacuan empat roda dan semua penumpang berusia antara tiga hingga 29 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, punca kemalangan cuai mengubah haluan dan tidak memberi isyarat ketika menukar lorong atau masuk simpang.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.