JOHOR BAHRU – Hak rakyat negara ini terutamanya ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyokongnya dari seluruh negara untuk hadir dan menyertai himpunan solidariti yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya esok, sewajarnya tidak boleh dinafikan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, semua rakyat negara ini berhak berhimpun secara aman selagi ia tidak melibatkan sebarang penggunaan senjata sebagaimana yang termaktub menerusi Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Malah katanya, kenyataan Istana Negara pada 3 Januari lalu juga tidak membatalkan hak rakyat berhimpun seperti disebut di bawah Perkara 10(1)(b).
"Perlu dijelaskan bahawa undang-undang yang tertinggi digunakan di negara kita Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan bukannya dekri atau titah dari Istana Negara.
"Adakah orang ramai yang berhimpun di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya esok dianggap menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong? Jawapannya tidak sama sekali kerana Malaysia sebuah negara demokratik bukannya sebuah negara feudal mutlak.
"Bagaimanapun, saya secara peribadi tidak bersetuju himpunan solidariti Najib itu diadakan namun ia tidak penting kerana pendirian peribadi saya tidak boleh menafikan hak ahli keluarga dan penyokong Najib berhimpun secara aman," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Pas dilaporkan akan tetap meneruskan penyertaan mereka dalam Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, esok.
Malah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan mendakwa kehadiran ke perhimpunan itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-Pertuan Agong dan Takiyuddin juga mendakwa perhimpunan itu tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses serta perjalanan Lembaga Pengampunan.
Khamis lalu, dalam satu kenyataan, Istana Negara memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula kemudiannya menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, ia demi menghormati titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam urusan pengampunan itu, selain bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Susulan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan, malam kelmarin berkata parti berkenaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Sementara itu, Hassan bagaimanapun berkata, hak berhimpun mengikut Perkara 10(1)(b) itu bukan mutlak sifatnya.
Katanya, Parlimen melalui undang-undang boleh mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau sesuai demi kepentingan keselamatan atau ketenteraman awam atau moraliti seperti dinyatakan Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.
"PDRM sewajarnya menghayati semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memahami niat dan tujuan Parlimen pada tahun 2012 menggubal Akta 736 itu untuk memudahkan rakyat berhimpun selari dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan.
"Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) itu digubal bertujuan untuk memberi ruang kebebasan lebih luas kepada rakyat untuk berhimpun dengan aman bagi menggantikan Akta Polis 1967 yang begitu menyekat dan mengongkong kebebasan rakyat," katanya.