SEPANG - Cyberjaya kini menjadi pusat tumpuan dalam arena e-sukan negara selepas pemilihan bandaraya pintar itu sebagai Pusat E-Sukan Negara.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, keputusan itu selari dengan pembinaan Malaysia Esport Village, sebuah projek mega yang mengintegrasikan stadium e-sukan antarabangsa, akademi, pusat latihan, bilik pameran teknologi dan pusat pembangunan permainan video.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang menyifatkan Cyberjaya sebagai lokasi strategik berdasarkan statusnya sebagai bandar pintar yang bertunjangkan konsep Lembah Silikon serta tulang belakang Koridor Raya Multimedia (MSC).
"Pembinaan Malaysia Esport Village ini adalah pencapaian besar buat negara, dengan pelbagai kemudahan yang mampu memacu industri e-sukan di Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan Kejohanan E-Sport Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Piala Ahli Parlimen Sepang 2025 di D’Pulze, Cyberjaya, pada Ahad.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas kerjasama erat antara Malaysian Esport Federation (MESF), IGG Arena Esport Sdn Bhd, dan Cyberview Sdn Bhd dalam merealisasikan projek itu, dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan tahun lalu.
Dalam pada itu, Kejohanan E-Sport Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang julung kali dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang menyaksikan 32 pasukan berentap melibatkan seramai 160 peserta.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan ini, termasuk TODAK sebagai organisasi berpengaruh dalam industri e-sukan serta D’Pulze sebagai lokasi penganjuran,” katanya lagi.
Beliau juga berharap kejohanan ini menjadi pemangkin untuk industri e-sukan terus berkembang di Sepang, sekaligus melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang tersebut.